Ramai orang tanya saya, kenapa perlu simpan emas?  Saya tanya balik, kenapa simpan duit?  Apa beza simpan duit dengan simpan emas?

Blog ini saya wujudkan adalah untuk ajak semua pembaca merungkai persoalan utama,  KENAPA KITA PERLU SIMPAN EMAS?

Sebelum kita pelajari atau fahami tentang tips dan kaedah serta potensi simpanan dan pelaburan emas, kita perlu terlebih dahulu fahami KENAPA KITA PERLU SIMPAN EMAS?Selepas faham soalan pokok ini, barulah kita boleh pelajari selok belok dan teknik untuk menjana keuntungan dan manfaat simpanan dan pelaburan emas secara maksima.

 

KENAPA KITA PERLU SIMPAN EMAS ?

1. KEBOCORAN WANG

Soalan cepu emas untuk kita semua….Duit senang habis ke senang simpan? Saya rasa semua orang sama, baik yang berpendapatan besar, mahupun kecik. Kalau duit tunai, memang cepat habis. Mengalir macam air paip kan?!

Kebanyakan orang setiap kali dapat gaji atau terima duit, biasanya akan berbelanja dulu kemudian baru simpan. Akhirnya yang mampu simpan cumalah baki yang mungkin duit syiling sahaja!

Saya ada berkongsi tentang kebocoran wang dalam posting sebelum ini ; BOCOR & BOROS – PENYAKIT ORANG BERDUIT. Untuk bacaan lanjut, sila klik link dan semoga bermanfaat.

Sebaliknya, duit yang ditukar kepada aset seperti emas akan terselamat dari dibelanjakan dan dihabiskan. Bila dah berjaya tukar wang kertas kepada aset fizikal emas, kita berjaya menyimpan dalam bentuk terbaik yang lebih sukar dibelanjakan. Emosi dan nafsu berbelanja pun tidak terganggu dengan jumlah simpanan emas yang berbaki bentuk GRAM.

 

2. Emas Kalis Inflasi & Mengekalkan Kuasa Beli Dalam Jangka Masa Panjang

Dalam banyak buku-buku kewangan tulisan mentor-mentor, emas sering disebut sebagai aset kewangan yang kalis inflasi. Dan mengekalkan kuasa beli dalam jangka masa yang panjang.

Kuasa beli dan inflasi, memegang nilai dalam jangka masa panjang? Saya cuba terangkan dalam analogi yang mudah.

Cuba perhatikan gambar di bawah :

Sepuluh tahun yang lepas tahun 2006, harga satu kilogram emas ialah RM 70 000 (RM70/ 1gram) iaitu sama dengan harga pasaran sebuah rumah teres setingkat kos sederhana di Sungai Petani, Kedah.

Pada tahun 2016 sepuluh tahun kemudian, harga bagi satu kilogram emas ialah RM180 000 (RM180/ 1 gram) dan masih bersamaan dengan harga sebuah rumah teres setingkat di Sungai Petani, Kedah.

Bagi orang yang ada simpanan duit kertas di bank sebanyak RM 80 000 sejak 2006, duitnya masih kekal RM80 000 dan mungkin akan terima dividen. TAPI, kuasa beli dengan duit itu dah pasti tidak sama, penyimpan duit kertas tak akan lagi mampu beli rumah teres yang sama sebab INFLASI atau kuasa beli sudah jatuh. Sebaliknya, bagi orang yang menyimpan satu kilogram emas, masih lagi mampu membeli rumah yang sama dengan harga yang sama selepas sepuluh tahun!

Terbuktilah, emas ialah aset kewangan yang KALIS INFLASI.

 

3. Emas Medium Pelaburan Jangka Panjang Terbaik

Bagi saya, untuk pelaburan jangka masa panjang, emas adalah pelaburan yang terbaik. Kalau simpan duit di bank, instrumen kewangan yang biasanya tawarkan dividen tahunan lebih kurang 6-8 % setahun. Tapi simpanan tersebut masih tidak berbaloi dengan risiko-risiko simpanan duit kertas. Berbaloikah kita simpan duit tapi dalam masa panjang, duit simpanan kita dimamah inflasi (kuasa beli) dan kejatuhan nilai matawang RM?

Dari segi nilai pelaburan jangka panjang, kelebihan aset fizikal emas mengatasi aset dan intrumen kewangan yang lain sebab emas tidak akan jatuh menjadi nilai KOSONG. Cuba bayangkan aset kewangan lain, jika berlaku ketidakstabilan ekonomi dan politik, nilai hartanah di tempat tersebut pun akan jatuh dan tiada siapa nak beli! Apatah lagi dengan risiko pelaburan instrumen kewangan, nilai matawang negara yang bergolak tidak bernilai lagi.

Gambar : Dalam kita tidak sedar, sebenarnya kejatuhan nilai matawang (CURRENCY LOSS) sudah lama berlaku.

 

4. Emas ~ Simpanan & Pelaburan Yang Rasional

Emas juga satu bentuk pelaburan yang rasional dan menenangkan. Untuk memulakan simpanan emas, tidak perlu modal yang besar cuma sekitar RM200 (1 gram) dan tak perlu ada proses jual beli atau dokumentasi seperti kita beli aset hartanah.

Kalau dulu hanya kaum wanita sahaja yang boleh simpan emas, tetapi sekarang dengan kemudahan yang disediakan oleh syarikat seperti Kuwait Finance House (KFH) dan Public Gold, semua orang boleh menyimpan emas. Dulu terpaksa kumpul duit untuk beli rantai dan cincin, sekarang hanya serendah 1 gram sahaja dah boleh mula menyimpan emas.

Emas yang dikumpul bermaksud kekayaan yang kita miliki menjadi aset fizikal yang boleh dipegang, dipeluk, dimiliki, dikumpul (collector)  dan sangat mudah alih (mobile). Kalau ada kecemasan, aset emas sangat mudah dicairkan kepada tunai dengan jual balik atau pajak, terus dapat cash. Jadi dapat elak dari buat pinjaman  atau guna kad kredit yang ada kadar faedah yang tinggi.

Menurut mentor kewangan, Encik Mohd Zulkifli Shafie, intrumen pelaburan yang baik punyai beberapa kriteria :

  • Nilai jangka panjang terjamin
  • Mudah dicairkan kepada tunai
  • Kekayaan di tangan kita
  • Ia aset mudah alih – mobile
  • Menutup nafsu berbelanja (kekayaan bertahan lama)
  • Aset fizikal mampu milik

 

5. Emas – Aset/Alat Kewangan Mudah Alih

Dalam majalah bisnes The Times, seorang pakar kewangan menyebut jika kita melabur dalam intrumen pelaburan kewangan di bank, apa yang berlaku sebenarnya ialah…

“Kita meletakkan kekayaan kita dalam poket orang lain dan menunggu satu tempoh masa. Bila sudah sampai masanya, kita akan ambil balik bersama pulangan yang dijanjikan. Dalam tempoh masa tersebut, kekayaan itu bukan jadi milik kita sepenuhnya.”

Berbeza dengan pelaburan emas, bila kita menukarkan duit kepada emas, kekayaan itu masih sepenuhnya milik kita. Kalau kita melabur dalam hartanah dan rumah, proses dokumentasi jual beli yang panjang boleh makan sehingga 6 – 9 bulan untuk diselesaikan. Belum lagi kira kos guaman dan kos penyelenggaraan rumah. Malah aset hartanah dan rumah tidak boleh di alih. Sebaliknya emas, kalau kita berpindah dari satu satu tempat ke tempat yang lain, aset emas boleh dibawa dengan mudah.

Jika berlaku keadaan yang tidak baik seperti pergolakan politik seperti perang,  kita masih boleh membawa bersama emas tersebut ke mana sahaja tanpa perlu risau risiko kejatuhan nilai. Pelarian Vietnam sebagai contoh dalam Perang Vietnam, melarikan diri bersama aset emas. Mereka kemudian memulakan hidup baru dengan modal emas di negara orang. Sebab matawang negara yang bergolak pasti tidak laku lagi.

 

 6. Emas Magnet Kekayaan

Bila kita miliki duit kertas, psikologi terus fikir nak beli apa. Sebaliknya kalau miliki emas, psikologi manusia akan SAYANG dan terus rasa nak SIMPAN. Sebenarnya, menjadi fitrah manusia sukakan emas sebagaimana dalil dalam Al-Quran, Surah Ali Imran  Ayat ke 14 .

Apabila sudah jadi tabiat menyimpan emas, baik dalam bentuk barang kemas mahupun jongkong pelaburan, automatik perasaan suka kumpul dan sayang akan terbit. Dari 1 gram bertambah lagi 1 gram, dari sedikit semakin lama semakin bertambah. Sudahnya, koleksi akan terus bertambah dan nilai kekayaan meningkat. Tak hairanlah bila ramai mentor-mentor kewangan sebut EMAS MAGNET KEKAYAAN. 

Juan Nasir
Pulau Pinang
0139012764

p/s : Akan datang topik menarik yang akan saya bongkarkan! Rahsia Emas, Apa Keistimewaannya?

Sumber Ilham & Ilmu :

  1. Buku Menyingkap Rahsia Pelaburan Emas tulisan En Syukor Hashim edisi 2016
  2. Buku Zero Hutang tulisan En Mohd Zulkifli Shafie
  3. Buku Analisis Fundamental Harga Emas Edisi 2017
  4. Blog-blog mentor www.jutawanemas.com dan www.mohdzulkifli.com
Shares